2004: Berita Harian Singapura

Berita Harian Singapura, 31 Januari 2004

PENTAS PUJANGGA 2004
AZAM KUAT PENDORONG KEJAYAAN
Oleh Nur Izzati Ismail dan Mohd Said Zoolkefli (Penulis sambilan)

PELAJAR Politeknik S'pura atasi kelemahan dalam puisi lama dengan kajian dan rujukan untuk muncul juara dalam pertandingan seni.

Puisi Melayu lama, seperti syair, gurindam dan masnawi sebelum ini agak asing bagi sekumpulan pelajar Politeknik Singapura (SP).

Selama mengikuti pengajian di SP, kumpulan pelajar berusia antara 19 dengan 21 tahun, tidak pernah mengenali dan menghayati puisi Melayu.

Sebaliknya, mereka lebih selesa menggunakan bahasa yang lebih ringkas dan dipenuhi dengan frasa teknologi sesuai dengan generasi muda kini.

Namun, ini tidak sedikit pun mematahkan azam 12 pelajar SP daripada menyertai satu pertandingan sastera dan seni budaya Melayu, Pentas Pujangga 2004, anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (PBMUKS) baru-baru ini.

Malah, azam dan keinginan untuk mendalami seni budaya dan sastera Melayu itu membuahkan hasil apabila mereka menjuarai pertandingan tersebut dengan mengalahkan beberapa kumpulan pelajar lain dari institusi-institusi pengajian tinggi setempat.

Mereka juga memenangi dua anugerah istimewa - Arahan Terbaik dan Pementasan Paling Kreatif.

Pertandingan julung-julung kali itu berlangsung di Pusat Budaya NUS Sabtu lalu.

Dalam pertandingan tersebut, kumpulan Sang Singa Purba itu mempersembahkan satu sandiwara mengenai bagaimana seorang wanita menegakkan keadilan dalam dunia yang mencabar.

Dengan tajuk Berhak Atas Sebab, Berjuang Atas Keadilan, pementasan itu telah menyelitkan unsur-unsur seni budaya dan sastera Melayu seperti penggunaan gurindam dalam persembahan melibatkan pergerakan seni silat.

Pengarah dan pelajar tahun ketiga SP, yang juga pelakon utama sandiwara itu, Siti Zalinah Adam, 20 tahun, berkata kekurangan pengetahuan dalam sastera dan seni budaya Melayu diatasi dengan menjalankan kajian dan rujukan.

'Kami terpaksa membuat rujukan untuk memahami apa itu gurindam dan bagaimana mahu mengarangnya.

'Satu bulan kami cari bahan dan idea untuk dijadikan satu cerita yang lengkap,' katanya yang menuntut dalam jurusan media dan komunikasi.

Azlinah Abdul Aziz, 22 tahun, yang memegang watak Tun Fatimah dalam pementasan itu, berkata beliau terpaksa mempelajari seni silat untuk menjiwai watak tersebut.

'Saya berlatih silat hari-hari selama tiga minggu sebelum hari pertandingan sehinggakan badan terasa amat sakit. Tapi ini semuanya berbaloi kerana kami muncul juara,' kata Azlinah.

 

Archive


© Sang Singa Purba Performing Arts
Singapore Polytechnic
All Rights Reserved 2008