2004 : Berita Harian Singapura
Berita Harian
Singapura : 31 Januari 2004

PERTINGKAT KESEDARAN PELAJAR INSTITUSI TINGGI TERHADAP SASTERA MELAYU

MENYEDARI akan perlunya pelajar peringkat tinggi meningkatkan kesedaran terhadap seni budaya dan sastera Melayu, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura telah menganjurkan pertandingan Pentas Pujangga 2004 Sabtu lalu.

Pertandingan tiga dalam satu yang diadakan di Pusat Budaya Universiti itu menguji kreativiti peserta dalam pementasan seni budaya dan sastera Melayu.

Para peserta terdiri daripada mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang/Institut Pendidikan Nasional dan pelajar lima politeknik setempat.

Dalam pertandingan julung-julung kalinya itu, para peserta yang mewakili institusi masing-masing perlu mengadakan pementasan dalam tiga kategori.

Tiga kategori itu, yang setiap satu diuji, ialah pementasan dan jalan cerita; penggunaan puisi Melayu lama, seperti gurindam and syair; serta seni dan pergerakan budaya, seperti seni silat.

Para peserta telah mempamerkan pelbagai persembahan yang antara lain menyentuh isu kemajuan masyarakat Melayu.

Lebih 1,000 penonton menyaksikan acara tersebut, yang diserikan dengan kehadiran tetamu terhormat, Anggota Palimen (AP) bagi GRC Sembawang, Dr Mohd Maliki Osman.

Dalam pertandingan itu, kumpulan pelajar Politeknik Singapura (SP) muncul sebagai juara Pentas Pujangga 2004 dengan persembahan yang bertajuk Berhak Atas Sebab, Berjuang Atas Keadilan.

Mereka memenangi hadiah trofi dan cek $1,000.

SP juga memenangi kategori Arahan Terbaik dan Pementasan Paling Kreatif.

Pengerusi Pentas Pujangga 2004, Syed Faisal Syed Ismail, berkata pertandingan tersebut dianjurkan untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan pelajar peringkat tinggi dan meningkatkan kesedaran mereka tentang khazanah sastera Melayu.

 

Archive


© Sang Singa Purba Performing Arts
Singapore Polytechnic
All Rights Reserved 2008