2007: Berita Harian Singapura
Berita Harian, Ruangan Ekstra!
Singapura : 10 Disember 2007

SENI SANA SINI
HATI DICUIT JENAKA, MINDA DIAJAK BERFIKIR
Oleh Noor Hasnah Adam


SIAPA kata pelajar politeknik tidak mampu menggegarkan auditorium? Tidak mampu menahan penonton melekat di tempat duduk? Tidak mampu membuat persembahan menarik dan menghiburkan?

Bulan lalu, dewan auditorium Politeknik Singapura bagai nak roboh dengan ketawa gemuruh penonton.

Persembahan Muzikarama III: Ini Macam Habislah yang begitu menghiburkan dan penuh lelukon itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu terhormat, pelakon veteran, Encik Azman Mohamad Shariff.

Penulis sendiri terpaku di tempat duduk sehinggakan masa dua jam tidak terasa berlalu. Air mata sampai meleleh kerana ketawa. Persembahan kumpulan Sang Singa Purba ternyata di luar jangkaan.

Tema yang dikemukakan dalam persembahan Muzikarama III adalah isu-isu semasa.

Namun tidak seperti gaya persembahan biasa, tema-tema yang digarap berjaya dipersembahkan dalam bentuk yang santai tetapi menarik lagi penuh interaktif. Jelas, penulis skrip mementingkan falsafah yang tinggi dan berkesan dan bukan unsur didaktik yang keterlaluan.

Sebagai contoh, isu gadis Melayu hamil luar nikah diungkapkan dengan dialog berirama antara tukang cuci (Bedah) dengan tukang sapu (Tipah).

'Asal balik bawa perut... asal balik bawa perut... Haa... pergilah beranak kat tangga, tempat dah jadi macam hotel! Tempat berasap, tempat menghisap, tempat menghidu... susahkan aku!'

Dialog berirama pelakon begitu bersahaja dan mencuit hati. Di penghujung babak, barulah penonton faham bahawa yang dimaksudkan 'asal balik bawa perut' itu adalah kucing betina.

Biarpun begitu, jelas mesej yang nak disampaikan adalah tentang masalah sosial gadis hamil luar nikah yang disamakan dengan sifat seekor kucing betina.

Masalah kegemukan wanita Melayu, gadis laman Friendster bergambar lucah, isu perceraian Melayu, samseng remaja dan gadis hamil luar nikah hingga terpaksa menggugurkan bayi pula merupakan deretan isu yang dikupas.

Tahniah kepada panelis skrip iaitu Mohd Nizal Ja'afar, Namira Mohd Jaya, Nurshakinah Mohd Nor, Maisarah Zulkifly, Nadiah Sapiuna dan Wan Mohd Haddad Salleh.

Pujian juga wajar diberikan kepada tukang cuci yang dijayakan dengan begitu baik oleh Safiah Abdullah, 17 tahun.

Dua pelakon lain iaitu Wan Wahida Salleh, 19 tahun, sebagai reporter (Lucy) dan Mohd Aidil Akmal, 17 tahun, sebagai penyanyi majlis kahwin (M.Daud Kalau) juga menampilkan lakonan cemerlang.

Kesemua pelakon Muzikarama III merupakan penuntut Politeknik Singapura tahun pertama.

Pengarah muzik, Mohd Shamil Haniff, 20 tahun; Mohd Afiq Syazani, 19 tahun; dan Jeffri Natawate, 18 tahun; berjaya mencipta kelainan dengan menggabungkan irama kibod, gitar, bes, rebana, gendang, akordian dan akapella. Muzik mereka dimainkan secara profesional.

Terdapat bermacam-macam lagu daripada era 1960-an hinggalah 1990-an yang berkumandang. Pelajar-pelajar ini juga berbakat mencipta lagu walaupun saya akur, ada yang tidak dapat bernyanyi dengan baik. Muzikarama III meyakinkan saya bahawa dunia teater Melayu Singapura mempunyai ramai pelapis yang berbakat besar.

Tahniah kepada Ketua Pengarah Muzikarama III iaitu Muhamad Nizal Ja'afar, 18 tahun, penuntut tahun kedua jurusan Bioteknologi, dan barisan pengarah lain.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman www.geocities.com/ssp.artistik atau www.sangsingapurba.blogspot.com.


*NOTA: Lelaman Sang Singa Purba terkini ialah - www.sangsingapurba.com

 

Archive


© Sang Singa Purba Performing Arts
Singapore Polytechnic
All Rights Reserved 2008