2005: Berita Harian Singapura
Berita Harian, Ruangan Ekstra!
Singapura : 10 Mei 2005

ACARA PUISI TARIK MINAT ANAK MUDA
Oleh Zaharian Osman , Penulis Sambilan

MASA bangga apabila melihat golongan muda berkumpul memberi apresiasi kepada acara puisi.

Ini berlaku ketika peringkat akhir Gema Puisi Artistik anjuran Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu Maktab Rendah Nanyang di Auditorium Singapore Power, baru-baru ini.

Pertandingan yang masuk tahun kelima itu meninggalkan serba sedikit kesan pada penglibatan anak-anak muda terhadap puisi.

Mereka diberi tema tertentu untuk dikupas, kemudian menulis puisi dan melagukan serta mendukunginya dengan persembahan artistik.

'Memang agak mencabar bagi kami apabila mula-mula mencetuskan ilham menganjurkan pertandingan sebegini.

'Namun syukur, kini peserta mula ada nilai menghargai puisi dan seni yang dipentaskan setiap tahun,' ujar Cikgu Kalida Kalidi, guru penasihat yang membimbing pelajarnya mengendalikan pertandingan setiap tahun.

Bayangkan penganjur perintis yang pernah menganjurkan pertandingan Gema Dikir Barat sejak 1984 harus bertukar arah dalam 2000 kerana ingin memainkan peranan lebih aktif dalam memperkenalkan apresiasi terhadap puisi. Malah penulis yang mengadil pertandingan ini mendapati mutu yang ditunjukkan setiap tahun semakin merangsangkan.

Terdapat penyertaan pelajar bukan Melayu yang mengambil mata pelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda setiap tahun.

Malahan, penyertaan mereka sering memberi persaingan sengit kepada kumpulan pelajar Melayu.

Tahun ini, kumpulan dari Sekolah Menengah West Spring memberi kejutan kepada kumpulan 'abang-abang' dan 'kakak-kakak' dari maktab rendah dan politeknik dengan menjuarai keseluruhan pertandingan ini.

Persembahan mereka bersahaja dan menarik perhatian para pengadil kerana perwatakan kucing jelmaan manusia yang tidak ingin melihat Geylang Serai dirobohkan kerana ingin 'dibersihkan'.

Penulis juga ingin memberi pujian kepada persembahan Politeknik Singapura, Maktab Rendah Serangoon dan Maktab Rendah Tampines kerana mempamerkan ciri-ciri kekuatan yang membuat keseluruhan persembahan mereka 'memukau' penonton.

Pertandingan Gema Puisi Artistik ini sebenarnya telah pun mencungkil beberapa bakat seperti kumpulan Karisma (yang dianggotai Iman dan Nazarul) ketika mereka meraih kemenangan di 2001 dan Mohd Haizad Imram pada 2002 sebelum dikenali sebagai 30 peserta terbaik Singapore Idol tahun lalu.

Sokongan daripada Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) rasanya wajar dihulurkan untuk 'mengangkat' pertandingan ini menjadi suatu pertandingan penting mengajak anak muda terus mencintai puisi.


Nota: Penulis adalah seorang aktivis seni.

 

Archive


© Sang Singa Purba Performing Arts
Singapore Polytechnic
All Rights Reserved 2008