MUZIKARAYA'09: JOM BALIK KAMPUNG!





MUZIKARAYA'09: JOM BALIK KAMPUNG! telah dipentaskan pada tanggal 23 Oktober 2009. Sebagai satu langkah baru, SANG SINGA PURBA membuat trailer 'Di Sebalik Tabir' khas untuk para penonton! Ini adalah salah satu initiatif pertama yang dibuat oleh sebuah kumpulan teater Melayu. Bukan sahaja satu episod, tetapi 2 episod telah dirakamkan merangkumi pelbagai aspek pementasan.

Antara promosi media ialah publisiti melalui radio RIA 89.7FM, di mana acara ini disertakan dalam DIARI RIA sempena sambutan Hari Raya di seluruh Singapura. Klip itu juga disertakan dalam trailer 'Di Sebalik Tabir' kami yang tertera di atas ini. Terima kasih DJ Fiza O & Radio Ria kerana sudi menyokong kami!
2007: Berita Harian Singapura
Berita Harian Singapura :

GERUN TAPI GHAIRAH
Oleh Norman Sawi


Photobucket
2007 : Persada Seni WARNA 94.2FM
Radio WARNA 94.2FM, DJ Riz Sunawan menemuramah penasihat dan pengarah SANG SINGA PURBA mengenai persembahan mereka di Kuala Lumpur berjodol WAWAS! Wawasan Anak Singa yang dipentaskan pada 28 hingga ke 30 Disember 2007.

2007: Berita Harian Singapura
Berita Harian, Ruangan Ekstra!
Singapura : 10 Disember 2007

SENI SANA SINI
HATI DICUIT JENAKA, MINDA DIAJAK BERFIKIR
Oleh Noor Hasnah Adam


SIAPA kata pelajar politeknik tidak mampu menggegarkan auditorium? Tidak mampu menahan penonton melekat di tempat duduk? Tidak mampu membuat persembahan menarik dan menghiburkan?

Bulan lalu, dewan auditorium Politeknik Singapura bagai nak roboh dengan ketawa gemuruh penonton.

Persembahan Muzikarama III: Ini Macam Habislah yang begitu menghiburkan dan penuh lelukon itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu terhormat, pelakon veteran, Encik Azman Mohamad Shariff.

Penulis sendiri terpaku di tempat duduk sehinggakan masa dua jam tidak terasa berlalu. Air mata sampai meleleh kerana ketawa. Persembahan kumpulan Sang Singa Purba ternyata di luar jangkaan.

Tema yang dikemukakan dalam persembahan Muzikarama III adalah isu-isu semasa.

Namun tidak seperti gaya persembahan biasa, tema-tema yang digarap berjaya dipersembahkan dalam bentuk yang santai tetapi menarik lagi penuh interaktif. Jelas, penulis skrip mementingkan falsafah yang tinggi dan berkesan dan bukan unsur didaktik yang keterlaluan.

Sebagai contoh, isu gadis Melayu hamil luar nikah diungkapkan dengan dialog berirama antara tukang cuci (Bedah) dengan tukang sapu (Tipah).

'Asal balik bawa perut... asal balik bawa perut... Haa... pergilah beranak kat tangga, tempat dah jadi macam hotel! Tempat berasap, tempat menghisap, tempat menghidu... susahkan aku!'

Dialog berirama pelakon begitu bersahaja dan mencuit hati. Di penghujung babak, barulah penonton faham bahawa yang dimaksudkan 'asal balik bawa perut' itu adalah kucing betina.

Biarpun begitu, jelas mesej yang nak disampaikan adalah tentang masalah sosial gadis hamil luar nikah yang disamakan dengan sifat seekor kucing betina.

Masalah kegemukan wanita Melayu, gadis laman Friendster bergambar lucah, isu perceraian Melayu, samseng remaja dan gadis hamil luar nikah hingga terpaksa menggugurkan bayi pula merupakan deretan isu yang dikupas.

Tahniah kepada panelis skrip iaitu Mohd Nizal Ja'afar, Namira Mohd Jaya, Nurshakinah Mohd Nor, Maisarah Zulkifly, Nadiah Sapiuna dan Wan Mohd Haddad Salleh.

Pujian juga wajar diberikan kepada tukang cuci yang dijayakan dengan begitu baik oleh Safiah Abdullah, 17 tahun.

Dua pelakon lain iaitu Wan Wahida Salleh, 19 tahun, sebagai reporter (Lucy) dan Mohd Aidil Akmal, 17 tahun, sebagai penyanyi majlis kahwin (M.Daud Kalau) juga menampilkan lakonan cemerlang.

Kesemua pelakon Muzikarama III merupakan penuntut Politeknik Singapura tahun pertama.

Pengarah muzik, Mohd Shamil Haniff, 20 tahun; Mohd Afiq Syazani, 19 tahun; dan Jeffri Natawate, 18 tahun; berjaya mencipta kelainan dengan menggabungkan irama kibod, gitar, bes, rebana, gendang, akordian dan akapella. Muzik mereka dimainkan secara profesional.

Terdapat bermacam-macam lagu daripada era 1960-an hinggalah 1990-an yang berkumandang. Pelajar-pelajar ini juga berbakat mencipta lagu walaupun saya akur, ada yang tidak dapat bernyanyi dengan baik. Muzikarama III meyakinkan saya bahawa dunia teater Melayu Singapura mempunyai ramai pelapis yang berbakat besar.

Tahniah kepada Ketua Pengarah Muzikarama III iaitu Muhamad Nizal Ja'afar, 18 tahun, penuntut tahun kedua jurusan Bioteknologi, dan barisan pengarah lain.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman www.geocities.com/ssp.artistik atau www.sangsingapurba.blogspot.com.


*NOTA: Lelaman Sang Singa Purba terkini ialah - www.sangsingapurba.com
2006: Berita Harian Singapura
Berita Harian, Ruangan Singapura
Pulangkanlah - Koleksi cerita-cerita dongeng
6hb Disember 2006


Sang Singa Purba telah menyingkap zaman kegemilangan era Jalan Ampas dan Industri Filem Melayu, pada persembahan mereka tahun lepas. Tahun ini, mereka melanjutkan tema muzikarama mereka, dengan satu tema baru.

Menyingkap zaman kanak-kanak adalah tema muzikarama tahun ini. Persembahan dari kumpulan Sang Singa Purba ini mengajak penonton mengimbas kembali zaman kanak-kanak, dengan persembahan eksperimentasi yang mengabungkan cerita-cerita dongeng dan kehidupan moden..

2006: Berita Harian Singapura
Singapura : 16 Mei 2006

KISAH BADANG DAN HANG NADIM DIPENTAS UNTUK RANGSANG FIKIRAN

ADAKAH kekuatan Badang itu miliknya sendiri?

Apakah perasaan Sang Nila Utama ketika dalam pelayaran mencari pulau idaman?

Itulah antara kisah Singapura yang akan diketengahkan di pementasan muzikal dan drama Awallah Dondang II yang kembali dengan tema 'Cinta Pada Kemanusiaan, Pelajaran dan Negara Membawa Kepada Kemurnian Hati'.

Awallah Dondang II yang dianjurkan Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu Institut Pendidikan Nasional dan Universiti Teknologi Nanyang (Perbayu NIE/NTU) itu akan mempamerkan bakat pelajar daripada sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi di sini.

Dengan tajuk M.I.M: Melayuku Ini Melayukah, pementasan yang diadakan sempena Bulan Bahasa 2006 itu bertujuan memaparkan kisah Singapura dan ikon-ikonnya yang secara tidak langsung membentuk identiti masyarakat ini.

'Di akhir pementasan ini, kami mahu penonton berfikir sama ada apa yang dilakukan Badang, Hang Nadim dan karakter lain daripada kisah-kisah lagenda Singapura betul atau tidak. Pementasan ini juga akan membuat penonton berfikir secara kritikal akan identiti mereka yang sebenar,' kata Ketua Penyelaras Awallah Dondang II, Cik Mardiana Mohamed Noor.

Pementasan itu akan diadakan pada Sabtu, 29 Julai, di Kreta Ayer People's Theatre, mulai 7.45 malam.

Harga tiket ialah $8 seorang.

Untuk keterangan lanjut atau membuat tempahan tiket, hubungi Cik Mardiana menerusi telefon 9118-9669 atau lungsuri laman http://clik.to/awallahdondang

2005: Berita Harian Singapura
Berita Harian, Ruangan Ekstra!
Singapura : 10 Mei 2005

ACARA PUISI TARIK MINAT ANAK MUDA
Oleh Zaharian Osman , Penulis Sambilan

MASA bangga apabila melihat golongan muda berkumpul memberi apresiasi kepada acara puisi.

Ini berlaku ketika peringkat akhir Gema Puisi Artistik anjuran Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu Maktab Rendah Nanyang di Auditorium Singapore Power, baru-baru ini.

Pertandingan yang masuk tahun kelima itu meninggalkan serba sedikit kesan pada penglibatan anak-anak muda terhadap puisi.

Mereka diberi tema tertentu untuk dikupas, kemudian menulis puisi dan melagukan serta mendukunginya dengan persembahan artistik.

'Memang agak mencabar bagi kami apabila mula-mula mencetuskan ilham menganjurkan pertandingan sebegini.

'Namun syukur, kini peserta mula ada nilai menghargai puisi dan seni yang dipentaskan setiap tahun,' ujar Cikgu Kalida Kalidi, guru penasihat yang membimbing pelajarnya mengendalikan pertandingan setiap tahun.

Bayangkan penganjur perintis yang pernah menganjurkan pertandingan Gema Dikir Barat sejak 1984 harus bertukar arah dalam 2000 kerana ingin memainkan peranan lebih aktif dalam memperkenalkan apresiasi terhadap puisi. Malah penulis yang mengadil pertandingan ini mendapati mutu yang ditunjukkan setiap tahun semakin merangsangkan.

Terdapat penyertaan pelajar bukan Melayu yang mengambil mata pelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda setiap tahun.

Malahan, penyertaan mereka sering memberi persaingan sengit kepada kumpulan pelajar Melayu.

Tahun ini, kumpulan dari Sekolah Menengah West Spring memberi kejutan kepada kumpulan 'abang-abang' dan 'kakak-kakak' dari maktab rendah dan politeknik dengan menjuarai keseluruhan pertandingan ini.

Persembahan mereka bersahaja dan menarik perhatian para pengadil kerana perwatakan kucing jelmaan manusia yang tidak ingin melihat Geylang Serai dirobohkan kerana ingin 'dibersihkan'.

Penulis juga ingin memberi pujian kepada persembahan Politeknik Singapura, Maktab Rendah Serangoon dan Maktab Rendah Tampines kerana mempamerkan ciri-ciri kekuatan yang membuat keseluruhan persembahan mereka 'memukau' penonton.

Pertandingan Gema Puisi Artistik ini sebenarnya telah pun mencungkil beberapa bakat seperti kumpulan Karisma (yang dianggotai Iman dan Nazarul) ketika mereka meraih kemenangan di 2001 dan Mohd Haizad Imram pada 2002 sebelum dikenali sebagai 30 peserta terbaik Singapore Idol tahun lalu.

Sokongan daripada Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) rasanya wajar dihulurkan untuk 'mengangkat' pertandingan ini menjadi suatu pertandingan penting mengajak anak muda terus mencintai puisi.


Nota: Penulis adalah seorang aktivis seni.

 

Archive


© Sang Singa Purba Performing Arts
Singapore Polytechnic
All Rights Reserved 2008